Wednesday, May 4, 2011

Seorang Pelakon dalam lakonan....

Pelakon seperti juga sutradara dan pereka, adalah seorang penterjemah. Ia menjelaskan apa yang terkandung di dalam naskah; kata-kata, idea dan perasaan penulis naskah. Tanggungjawab seorang pelakon ialah menafsir makna yang terkandung di dalam naskah dan menjelaskan emosi tersebut kepada penonton. Hubungan antara pelakon dengan penonton berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan sutradara atau pereka. Hubungan mereka adalah secara langsung. Pelakon mampu mengetahui dan merasa secara langsung respon yang diberikan oleh penonton terhadap apa jua tindakan dan ucapan yang dibuat oleh pelakon berkenaan, sekaligus melakukan pengubahsuaian emosi bersesuaian dengan respon tersebut. Emotional interchange dengan penonton inilah antara keunikan yang terdapat di dalam sebuah lakonan. Walaubagaimanapun pengubahsuaian emosi ini tidaklah boleh dibuat secara sembarangan kerana pelakon bukanlah bersendirian di dalam membuat persembahannya. Pengubahsuaian itu tertakluk kepada syarat dan peraturan tertentu. Pengubahsuaian yang keterlaluan akan memberikan kesan kepada pelakon lain dan sekaligus menjejaskan keseluruhan persembahan; merosakkan tempo persembahan, timing lakonan, nilai dramatik persembahan dan lain-lain.
Tanggungjawab utama seorang pelakon ialah menggambarkan imej dan perawatakan watak yang diperannya. Dalam usaha menggambarkan perwatakan watak, ia tidak hanya tertakluk kepada lahiriah atau fizikal watak semata-mata malah ia melibatkan keseluruhan aspek watak dan perawatakan (life-size portrait). Perwatakan watak yang digambarkan itu mestilah mampu ditafsirkan oleh penonton serta sesuai dengan keperluan dramatik persembahan (naskah) atau kehendak sutradara. Pelakon bukan setakat menzahirkan perwatakan watak malah perlu menyesuaikan respon emosi perwatakan watak bersesuaian dengan tahap emosi penonton ketika itu.
Dari : Dr Andika Aziz, Pensyarah Teater Universiti Malaysia Sabah.

No comments:

Post a Comment